CCCG yakin segmen hartanah mewah akan pulih sebaik sempadan Malaysia dibuka pada 2022

CCCG yakin segmen hartanah mewah akan pulih sebaik sempadan Malaysia dibuka pada 2022

DagangNews | 21 Jan, 2022

KUALA LUMPUR 21 Dis -  China Communications Construction Group (CCCG) yakin segmen hartanah mewah di negara ini akan kembali pulih sebaik sahaja sempadan Malaysia dibuka semula pada 2022.

Pengarah CCCG Overseas Real Estate Pte Ltd. Zhang Bao berkata, gabungan pelancaran infrastruktur mewah, pengaktifan semula program Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dan pembukaan semula sempadan negara pada 2022 dijangka meningkatkan keyakinan terhadap pasaran hartanah pada 2022.

Beliau percaya pasaran hartanah pada 2022 akan pulih namun mengambil masa untuk mencapai tahap aktiviti pembangunan seperti sebelum berlakunya COVID-19.

"Dengan bantuan kerajaan, kami akan memainkan peranan sebagai pemaju hartanah mewah dan menyumbang ke arah kemakmuran negara dengan menarik pelaburan asing," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

CCCG dan rakan kongsinya WCT Holdings Berhad, melalui syarikat usaha sama CORE Precious Development Sdn. Bhd., sedang membangunkan CORE Residence @ TRX yang merupakan projek mewah pegangan bebas bernilai RM1.4 bilion di Tun Razak Exchange.

Zhang Bao berkata, pihaknya sedang berusaha keras untuk memastikan pembinaan projek sulungnya iaitu CORE Residence @ TRX berjalan dengan lancar dan siap sepenuhnya mengikut jadual pada 2023.

Katanya, projek berkenaan berjalan mengikut jadual yang ditetapkan dan pihaknyanya sentiasa mengemas kini perkembangan projek berkenaan untuk pengetahuan pembeli.

“Di sebalik berlaku penutupan dan gangguan dalam kerja pembinaan, kami yakin untuk menyerahkan produk kami kepada pelanggan tepat pada masanya seperti yang dijanjikan. 

"Projek itu terdiri daripada tiga menara kediaman sevis dan kini pembinaannya sudah mencapai 20 tingkat," katanya.

Sementara itu, Zhang Bao berkata, pihaknya merancang untuk menjalinkan lebih banyak kerjasama pada masa hadapan untuk menjalankan pembangunan hartanah baharu di Malaysia khususnya di kawasan bandar.

"Meskipun berdepan tempoh paling sukar dalam 20 tahun ini, saya berpuas hati dengan pencapaian pada 2021 dan kami akan berusaha memberikan prestasi yang lebih baik pada tahun hadapan," katanya. - DagangNews

image