Projek CORE Residence @ TRX dapat sambutan

Projek CORE Residence @ TRX dapat sambutan

BeritaHarian | 05 Oct, 2021

KUALA LUMPUR: Pembangunan hartanah pegangan bebas mewah, CORE Residence @ TRX yang dimajukan oleh CORE Precious Development Sdn Bhd mencapai kadar langganan 70 peratus untuk Menara 1 dan 2.

Dalam pada itu, pemaju menyasar untuk melancarkan Menara 3 dengan rakan pengurusan hotel antarabangsa tidak lama lagi.

CORE Precious Development adalah syarikat usaha sama antara firma Fortune Global 500, China Communications Construction Group (CCCG) dengan peneraju kejuruteraan pembinaan dan pemaju hartanah tempatan, WCT Holdings Bhd.

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, walaupun terdapat kesan pandemik berlanjutan dan beberapa sekatan di seluruh negara, namun jumlah jualan besar diraih dalam tempoh beberapa bulan terakhir berikutan usaha pemasaran digital yang agresif seperti ejen penstriman secara langsung, lawatan rumah secara maya serta kempen media sosial yang kreatif.

Katanya, unit kediaman di CORE Residence @ TRX dilanggan terutama oleh pelanggan dari 20 lebih negara dan rantau Asia.

"Menurut testimoni pelanggan, kelebihan daya saing projek yang unik susulan lokasinya yang berpusat, harga berpatutan berbanding dengan negara lain serta jaminan peningkatan harga pada masa depan, adalah antara sebab ia menjadi pilihan utama dalam kalangan ekspatriat," katanya.

Pengarah CCCG Overseas Real Estate Pte Ltd, Zhang Bao, berkata masih ada permintaan yang tinggi untuk hartanah kediaman mewah di Kuala Lumpur, kerana harga sekaki persegi di ibu kota yang sangat berpatutan, akses mantap dengan perkhidmatan pengangkutan bersepadu dan kualiti hidup yang tinggi, menjadikannya destinasi ekspatriat atau persaraan bagi pembeli Asia di luar negara.

"Kami yakin dapat mencapai kadar langganan 100 peratus untuk CORE Residence @ TRX sebelum tarikh siap yang dijangka pada tahun 2023.

"Projek ini, yang terdiri daripada dua menara kediaman berservis dan satu menara pangsapuri berservis, sudah mencapai tingkat 12 dalam pembinaan dan syarikat bergerak maju ke fasa projek seterusnya dengan lancar.

"Kami berada di tahap akhir rundingan dengan rakan pengurusan hotel antarabangsa dan bercadang untuk melancarkan Menara 3 dengan segera, bergantung kepada keadaan penularan pandemik di negara ini," katanya dalam kenyataan sama.

Beliau menambah, CORE Precious juga ingin mengembangkan projek yang lebih menonjol di lokasi utama lain Kuala Lumpur dan seluruh negara. - Berita Harian

image